Menyedari ramai memerhati, kemudian perlahan-lahan dia mengesat air mata dengan hujung tudungnya. Ternyata, sukar sekali Nor Amni Syazwani, 7, berpisah dengan ayahnya, Mohamad Nasir Yusoff, 50, meninggalkan keluarga kerana tuntutan sebagai petugas haji pada musim ini.
Ibunya, Noraini Isa, 50, sejak diberitahu bapanya akan bertugas di Makkah anak bongsunya itu tidak lekang dan sentiasa mahu ditemani bapanya.
Begitulah sikap ditunjukkan Nor Amni, macam-macam pesanan diberi bapanya sebelum berangkat. Dulu, kain pelikat jadi teman melepaskan rindu. Namun, bukan Nor Amni saja yang sedih dan risau, walaupun tidak tunjuk saya dan dua anak iaitu Mohamad Ruzaini Hibatullah, 23, dan Nor Fatin Ayuni, 15, mempunyai perasaan sama. Sememangnya, ini bukanlah kali pertama kami berpisah dan berjauhan demi tugasan sebagai petugas haji tetapi perasaan seperti itu tetap ada, kata Noraini ketika FAMILI, sehari sebelum berangkat ke Makkah, pada 19 September lalu.
Hakikatnya, bukan hanya jemaah haji menjadi tetamu Allah saja dibaluti rasa rindu dan sedih apabila berjauhan tetapi gelodak perasaan dirasakan petugas haji dan keluarga mereka.
Namun, demi tugasan dan amanah perlu dipikul, perasaan itu dibenamkan. Dengan jiwa kental, petugas berazam memberikan khidmat terbaik supaya segala urusan untuk semua tetamu Allah berjalan lancar.
Bertugas sebagai Ketua Unit Pentadbiran Jabatan Haji, Mohamad Nasir, berkata sepanjang berkhidmat 27 tahun dengan Lembaga Tahun Haji (TH) hanya 10 kali berpeluang menyambut Hari Raya Korban bersama keluarga, selebihnya bapa tiga anak itu berangkat ke Makkah sebagai petugas haji.
Menganggap rezeki bekerja di TH. Saya beruntung kerana dapat membantu jemaah haji melakukan ibadat rukun kelima. Apabila mereka dapat pahala dan dapat sempurnakan ibadat haji, dapat saya pahala dan keberkatan, katanya yang ditugaskan di Jeddah tahun ini bagi menguruskan jemaah haji berangkat pulang ke Malaysia.
Mohamad Nasir berkata, berpisah lama, jauh dengan isteri dan anak memang sedih, malah ada kala terbit perasaan risau tetapi dek sudah lali hampir saban tahun mengalami perasaan itu, kini ia bukanlah cabaran atau masalah besar lagi. Tambahan, ketiga-tiga anaknya sudah besar dan biasa ditinggalkan serta amat memahami tugasnya.
Katanya, sebagai petugas kepulangan ke tanah air tiada jadual tetap penerbangan seperti mana jemaah haji lain. Kebiasaannya tempoh petugas berada di tanah suci lebih lama daripada jemaah haji dan beliau pernah berada di sana sehingga 75 hari untuk menunaikan tugasan.
Dulu anak masih kecil, kasihan juga kerana ditinggalkan lama dan selalu saja tidak dapat menyambut Aidiladha bersama. Setiap kali raya , kalau saya bertugas di Makkah, mereka terpaksa beraya bersama saudara mara di kampung. Tetapi hendak buat macam mana, saya bertugas dan bukan tidak teringin berhari raya dan menghabiskan masa bersama mereka seperti keluarga lain, katanya turut bersyukur komunikasi canggih hari ini memudahkan mereka sekeluarga kerap berhubung berbanding dulu.
Nasir memberitahu, jika dulu dia terpaksa menyediakan syiling yang banyak setiap kali menelefon keluarga di Malaysia tetapi kini dengan adanya teknologi canggih sekurang-kurangnya, tiga hingga empat kali sehari dia menghubungi keluarga, sekali gus mereka sentiasa dekat dengannya.
Mengenai kesukaran dihadapi sepanjang bertugas selain berpisah dengan keluarga, Mohamad Nasir berkata tugasan semakin mencabar lazimnya apabila tiba kemuncak mengerjakan haji iaitu di Arafah dan Mina.
Sebagai petugas kami perlu pastikan pergerakan jemaah teratur dan lancar manakala keselamatan dan kebajikan mereka dijaga. Bagi saya, ketika membawa dan menjaga jemaah warga tua khususnya, mereka saya anggap seperti ibu bapa sendiri dan menolong mereka apa yang sepatutnya, katanya tidak menafikan ada kala petugas perlu berkhidmat 24 jam sehari dan tiada cuti sakit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan