Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai perkara itu dan pihaknya diminta supaya menyediakan kertas kerja yang lebih terperinci mengenai perkara itu.

Katanya, beliau berharap keputusan perbincangan antara dua kementerian itu boleh dirumuskan selewat-lewatnya pada tahun depan dan kemasukan pelajar ke universiti awam tempatan dapat dilaksanakan pada 2017.

“Kebiasaannya para pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang TVET tidak memiliki atau gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka hanya layak meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran di peringkat sijil tahap satu, dua, tiga atau diploma di kolej-kolej atau pusat latihan.

“Pelajar-pelajar ini kemudiannya akan bekerja, sama ada makan gaji atau menjalankan perniagaan sendiri. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada mereka yang masih mempunyai minat untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dan lebih tinggi, tetapi tidak berpeluang kerana syarat asas untuk ke universiti perlu memiliki kelulusan SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis graduasi Sijil Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Sesi 2014/2015 di Auditorium Felcra Berhad (Felcra), Jalan Setapak di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Felcra Trading & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC), Datuk Fattah Abdullah dan dua Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Datuk Ismail Kasim serta Datuk Baharom Mohamed.
Seramai 284 pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran antaranya Kursus Kesihatan dan Kecantikan, Kursus Fesyen dan Tekstil, Kursus Hospitaliti dan Pelancongan, Kursus Kejuruteraan dan Mekanikal, Kursus Tenaga Minyak dan Gas dan Kursus Industri Penerbangan menerima sijil masing-masing.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, jika perkara itu berjaya dilaksanakan, beliau yakin banyak universiti awam yang menawarkan kursus dalam bidang kemahiran akan menerima pelajar-pelajar berkenaan.
Katanya, kementerian melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang ketika ini menawarkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang TVET.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyifatkan tindakan Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang bertegas mahu menggunakan bahasa Inggeris dalam Dewan Rakyat sebagai biadab.

Katanya, penggunaan bahasa Malaysia dalam Dewan Rakyat telah diamalkan sejak dahulu lagi dan perkara itu tidak perlu dipertikaikan dengan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah.