BANTING: Seramai 220 pelajar Kolej MCS gembira apabila mendapat komputer riba sumbangan pihak kolej, sekali gus meringankan beban mereka yang tidak mampu untuk membelinya sendiri, semalam.
Sumbangan komputer riba jenama HP bernilai RM900 setiap satu disampaikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam Majlis Penyerahan Netbook, di sini.
Ketua Eksekutif Kolej MCS, Dr R Ravinthiran berkata, pemberian komputer riba ini bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam proses pembelajaran selain memberi peluang kepada pelajar tidak berkemampuan memiliki komputer peribadi untuk kegunaan harian. “Ini program ketiga Kolej MCS selepas program pertama pada 2009 dan seterusnya pada 2010 lalu.
“Sehingga hari ini 460 unit komputer riba sudah diperuntukkan kepada pelajar, iaitu 90 unit pada 2009, manakala pada tahun berikutnya pula 150 unit,” katanya.
Ravinthiran berkata, proses berkenaan secara tidak langsung membolehkan pelajar memahirkan diri dalam dunia IT selain persediaan ke alam pekerjaan.
“Saya melihat pihak industri sekarang tidak teragak-agak menolak permohonan daripada pemohon tidak mahir menggunakan komputer kerana ini menyukarkan mereka menyiapkan tugasan yang diberikan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/22
Tiada ulasan:
Catat Ulasan