PELAWAT

MAKLUMAT TERKINI

JOM DAFTAR - Diploma Pengurusan Haji Dan Umrah

DIPLOMA PENGURUSAN HAJI DAN UMRAH Panggilan kepada pelajar lulusan SPM yang masih tercari-cari peluang sambung belajar. Mengapa kerjaya dala...

INFO BARU

KEMASUKAN!! PENGAMBILAN SESI 2024 BERMINAT HUBUNGI: 010-2360709 (EN. SHAMSUL) PENGAMBILAN SSESI 2024 DIBUKA SEKARANG. HUBUNGI: ENCIK SHAMSUL - 010-2360709 BORANG ATAS TALIAN DAN PERMOHONAN BIASISWA ICMS

Jumaat, 26 Oktober 2012

Ramai kurang faham tujuan Aidiladha

Putrajaya: Segelintir masyarakat Islam di Malaysia masih kurang faham mengenai tujuan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha yang sepatutnya diraikan dengan rasa kesyukuran serta kegembiraan. 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, dalam satu kenyataan semalam, berkata Aidilfitri disambut meriah bagi meraikan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa sepanjang Ramadan. 
Aidiladha pula disambut lebih meriah bagi mereka yang menyempurnakan ibadah haji di Makkah dan berwukuf di Arafah. 

Hakikatnya, hikmah pensyariatan hari raya korban ini bagi golongan yang berkemampuan adalah dituntut untuk melaksanakan ibadah korban seba-gai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT. 

Bagi yang kurang berkemampuan pula, akan menerima pemberian hasil korban. Kegiatan penyembelihan dan pengagihan yang dilaksana secara bergotong-royong ini perlu dibudayakan sebagai satu terjemahan sambutan hari raya ini. 

Kesannya, ia bukan saja dapat memupuk semangat kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat setempat, malah turut menggalakkan budaya kunjung mengunjung dan bersedekah, katanya. 

Selain itu, jelas beliau, umat Islam juga disyariatkan bertakbir pada empat hari yang mulia ini iaitu pada hari wukuf dan hari Tasyrik pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu secara berjemaah.

Korban demi jihad



  • Foto
  • Foto
Mengerti ayah disayangi akan pergi jauh bertugas tetapi si anak bongsu itu seakan-akan sukar berpisah, sebaliknya terus saja duduk melekat di pangku bapanya. Wajahnya tampak suram dan apabila ada menyakat, matanya mula bergenang.

Menyedari ramai memerhati, kemudian perlahan-lahan dia mengesat air mata dengan hujung tudungnya. Ternyata, sukar sekali Nor Amni Syazwani, 7, berpisah dengan ayahnya, Mohamad Nasir Yusoff, 50, meninggalkan keluarga kerana tuntutan sebagai petugas haji pada musim ini. 
Meskipun, sudah lali dengan perpisahan itu, perasaan sedih tetap menerjah apatah lagi Nor Amni amat rapat dan manja dengan bapanya. 

Ibunya, Noraini Isa, 50, sejak diberitahu bapanya akan bertugas di Makkah anak bongsunya itu tidak lekang dan sentiasa mahu ditemani bapanya.

Begitulah sikap ditunjukkan Nor Amni, macam-macam pesanan diberi bapanya sebelum berangkat. Dulu, kain pelikat jadi teman melepaskan rindu. Namun, bukan Nor Amni saja yang sedih dan risau, walaupun tidak tunjuk saya dan dua anak iaitu Mohamad Ruzaini Hibatullah, 23, dan Nor Fatin Ayuni, 15, mempunyai perasaan sama. Sememangnya, ini bukanlah kali pertama kami berpisah dan berjauhan demi tugasan sebagai petugas haji tetapi perasaan seperti itu tetap ada, kata Noraini ketika FAMILI, sehari sebelum berangkat ke Makkah, pada 19 September lalu. 

Hakikatnya, bukan hanya jemaah haji menjadi tetamu Allah saja dibaluti rasa rindu dan sedih apabila berjauhan tetapi gelodak perasaan dirasakan petugas haji dan keluarga mereka.

Namun, demi tugasan dan amanah perlu dipikul, perasaan itu dibenamkan. Dengan jiwa kental, petugas berazam memberikan khidmat terbaik supaya segala urusan untuk semua tetamu Allah berjalan lancar. 
Bertugas sebagai Ketua Unit Pentadbiran Jabatan Haji, Mohamad Nasir, berkata sepanjang berkhidmat 27 tahun dengan Lembaga Tahun Haji (TH) hanya 10 kali berpeluang menyambut Hari Raya Korban bersama keluarga, selebihnya bapa tiga anak itu berangkat ke Makkah sebagai petugas haji. 

Menganggap rezeki bekerja di TH. Saya beruntung kerana dapat membantu jemaah haji melakukan ibadat rukun kelima. Apabila mereka dapat pahala dan dapat sempurnakan ibadat haji, dapat saya pahala dan keberkatan, katanya yang ditugaskan di Jeddah tahun ini bagi menguruskan jemaah haji berangkat pulang ke Malaysia. 

Mohamad Nasir berkata, berpisah lama, jauh dengan isteri dan anak memang sedih, malah ada kala terbit perasaan risau tetapi dek sudah lali hampir saban tahun mengalami perasaan itu, kini ia bukanlah cabaran atau masalah besar lagi. Tambahan, ketiga-tiga anaknya sudah besar dan biasa ditinggalkan serta amat memahami tugasnya. 

Katanya, sebagai petugas kepulangan ke tanah air tiada jadual tetap penerbangan seperti mana jemaah haji lain. Kebiasaannya tempoh petugas berada di tanah suci lebih lama daripada jemaah haji dan beliau pernah berada di sana sehingga 75 hari untuk menunaikan tugasan. 

Dulu anak masih kecil, kasihan juga kerana ditinggalkan lama dan selalu saja tidak dapat menyambut Aidiladha bersama. Setiap kali raya , kalau saya bertugas di Makkah, mereka terpaksa beraya bersama saudara mara di kampung. Tetapi hendak buat macam mana, saya bertugas dan bukan tidak teringin berhari raya dan menghabiskan masa bersama mereka seperti keluarga lain, katanya turut bersyukur komunikasi canggih hari ini memudahkan mereka sekeluarga kerap berhubung berbanding dulu.

Nasir memberitahu, jika dulu dia terpaksa menyediakan syiling yang banyak setiap kali menelefon keluarga di Malaysia tetapi kini dengan adanya teknologi canggih sekurang-kurangnya, tiga hingga empat kali sehari dia menghubungi keluarga, sekali gus mereka sentiasa dekat dengannya. 

Mengenai kesukaran dihadapi sepanjang bertugas selain berpisah dengan keluarga, Mohamad Nasir berkata tugasan semakin mencabar lazimnya apabila tiba kemuncak mengerjakan haji iaitu di Arafah dan Mina.

Sebagai petugas kami perlu pastikan pergerakan jemaah teratur dan lancar manakala keselamatan dan kebajikan mereka dijaga. Bagi saya, ketika membawa dan menjaga jemaah warga tua khususnya, mereka saya anggap seperti ibu bapa sendiri dan menolong mereka apa yang sepatutnya, katanya tidak menafikan ada kala petugas perlu berkhidmat 24 jam sehari dan tiada cuti sakit. 

Hayati konsep korban


Kuala Lumpur: Umat Islam disaran menghayati konsep pengorbanan dituntut Islam yang sanggup berkorban masa dan wang ringgit, berkorban jiwa raga, tenaga, fikiran, perasaan serta kepentingan diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata konsep itu terkandung dalam Surah Al-Ankabut ayat 69 bermaksud: “Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” 
Beliau berkata, pengorbanan Kerajaan Malaysia yang sanggup bertindak sebagai orang tengah bagi mengakhiri konflik berdarah lebih 40 tahun antara Manila dan Bangsamoro adalah suatu pengorbananyang amat membanggakan. 
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku lebih 1,400 tahun lalu, untuk memainkan peranan menjayakan pelan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina.
Melalui Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad SAW dengan puak Kafir Quraisy di Kota Makkah, umat Islam dapat mengerjakan haji pada tahun yang berikutnya.

Komitmen jitu kerajaan dalam membantu menyelesaikan pelbagai konflik yang berlaku di sesebuah negara juga membuatkan Malaysia diiktiraf dunia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik.

Ini terbukti dengan pengiktirafan ulama terkemuka dunia iaitu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang melahirkan penghargaan dan terima kasih terhadap usaha Malaysia yang konsisten menyokong dan membantu perjuangan rakyat Palestin selama ini, katanya.
Najib mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada umat Islam dalam perutusan khas sempena sambutan Aidiladha 1433H yang disiarkan melalui laman web 1malaysia.com.my semalam.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan jemaah haji yang ketika ini berada di Makkah supaya dapat menjalankan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sama berkata, lautan manusia yang hadir menjadi tetamu Allah di Makkah dengan penuh kerendahan diri sebagai hamba yang taat, adalah lambang kesatuan hati umat Islam yang diikat dengan kesatuan tauhid dan talian persaudaraan dalam agama.

Katanya, perpaduan ummah yang berasaskan kesatuan tauhid dan persaudaraan dalam Islam tanpa mengira perbezaan bangsa dan warna kulit adalah sesuatu yang amat dituntut oleh agama.

Sempena Aidiladha ini, marilah kita memperbaharui keazaman dan memperteguhkan tekad untuk membina dan seterusnya memperkukuhkan perpaduan ummah yang sejati. 
Janganlah kita mengabaikan soal perpaduan ummah yang menjadi benteng kekuatan umat Islam dalam menempuhi segala cabaran yang mendatang, katanya.

Popular Posts