Kepentingan Nilai dalam Pendidikan
Dalam sesebuah masyarakat, nilai murni amat perlu diterapkan bagi mewujudkan suasana yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilakukan pada peringkat awal proses sosialisasi, iaitu semasa individu itu berada pada peringkat persekolahan, selain penerapan nilai yang diterapkan oleh ibu bapa di rumah.
Penerapan nilai mendefinisikan nilai sebagai peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya masyarakat tersebut (Supeka et,al., 1976). Tujuan penerapan nilai adalah untuk mempengaruhi diri individu dengan nilai tertentu yang berbentuk universal dan mutlak, yang difikirkan baik dan sesuai.
Buku Nilai Murni dalam Pengajaran Bahasa Melayu ini mengandungi pelbagai pandangan dan pendapat lain tentang konsep nilai. Buku ini dihasilkan daripada kajian kes yang menggunakan kerangka teoretis berasaskan pendekatan penerapan nilai. Maklumat diperoleh berdasarkan tanggapan guru tentang pelaksanaan penerapan 16 nilai murni dalam pengajaran bahasa Melayu, khususnya di sekolah menengah rendah, Hulu Langat, Selangor.
Beberapa soalan berhubung dengan pelaksanaan penerapan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu dikemukakan. Apakah jenis nilai yang kerap dipilih untuk diterapkan dalam pengajaran bahasa Melayu? Apakah sumber nilai yang kerap digunakan oleh guru? Apakah prinsip asas penerapan nilai yang digunakan oleh guru? Apakah aktiviti bahasa yang kerap diterapkan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu? Apakah teknik penerapan nilai yang digunakan oleh guru untuk menanamkan nilai dalam pengajaran? Adakah guru membuat penilaian terhadap isi nilai yang diterapkan dalam pengajaran? Apakah tahap penerapan nilai yang dapat dicapai oleh guru dalam pengajaran? Apakah masalah yang dihadapi oleh guru semasa menanamkan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu? Adakah pengkhususan kaedah mengajar dan bentuk kursus Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang diperoleh memberikan pengaruh terhadap pelaksanaan penerapan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu?
Dalam usaha merealisasikan pendidikan bertaraf dunia seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, bahawa dalam bidang pendidikan di Malaysia telah diusahakan lonjakan berganda dari semua aspek bagi menentukan tahap pendidikan negara setaraf dengan sistem pendidikan yang terbaik di dunia.
Pada tahun 1974 , Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dan laporannya diterbitkan pada tahun 1979 untuk mengkaji segala aspek pelaksanaan pendidikan khasnya kurikulum pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Di samping meneliti kemampuan sistem pendidikan dalam melahirkan rakyat yang bersatu padu, terlatih dan berdisiplin, jawatankuasa ini prihatin terhadap masalah pendidikan akhlak. Hal ini terdapat dalam kenyataan pada halaman 227 para 452 Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.
Dalam Falsafah Pendidikan Negara melalui KBSM, diharapkan generasi muda yang dididik mempunyai asas yang Dalam bidang pendidikan di Malaysia telah diusahakan lonjakan berganda dari semua aspek bagi menentukan tahap pendidikan negara setaraf dengan sistem pendidikan yang terbaik di dunia. kukuh nilai murninya. Falsafah tersebut menggambarkan bahawa matlamat dan hasrat pendidikan negara tidak akan terlaksana tanpa asas, membina dan memperkembangkan pendidikan atas landasan nilai luhur dan murni. Falsafah ini direalisasikan dalam KBSM yang digubal dan dilaksanakan pada tahun 1988 bertujuan untuk memberikan penekanan pada pembangunan potensi individu secara menyeluruh.
Buku yang mengandungi 201 muka surat ini merupakan kajian penulis tentang penerapan nilai murni melalui pengajaran bahasa Melayu pada peringkat sekolah menengah. Penerapan nilai dan cara pelaksanaannya dapat disesuaikan dengan keperluan pendidikan nilai yang dilaksanakan dalam KBSM. Penulis mengkaji kaedah penerapan nilai oleh guru melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang menggunakan pelbagai alat, seperti bahan penulisan kreatif dan model contoh.
Tinjauan kajian menunjukkan bahawa pendidikan nilai sangat penting sebagai sebahagian daripada kandungan kurikulum sekolah, dalam proses pendidikan seseorang individu. Menurut Sugarman (1973) dan Lerner (1976), manusia memang dijadikan penerima nilai, pemilih nilai, pengamal nilai, pembentuk nilai pewaris dan penerus nilai serta pengawal nilai. Berdasarkan penegasan tersebut, Ellis, Cagan dan Howay (1991) membuat beberapa saranan berhubung dengan pendidikan nilai tersebut, seperti yang berikut:
i. Pendidikan nilai amat perlu di sekolah.
ii. Guru merupakan agen pemindahan nilai kepada pelajar.
iii. Pengajaran nilai sewajarnya menjadi fokus utama dalam pendidikan.
iv. Pegangan nilai secara umum harus didasarkan kepercayaan masyarakat.
Hasil kajian yang dijalankan, pertama, berdasarkan pelaksanaan penerapan nilai murni dalam pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah rendah melalui jenis nilai murni yang selalu diterapkan. Kedua, berdasarkan sumber untuk memilih nilai yang hendak Keberkesanan amalan guru selepas kajian akan terus berkekalan andainya mendapat pencerapan dan penyeliaan yang mantap dan berterusan, sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. diterapkan, penggunaan prinsip penerapan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu melalui aktiviti bahasa, dan kaedah penerapan nilai dalam pengajaran bahasa Melayu, teknik penerapan nilai yang digunakan, tahap penerapan nilai yang dicapai oleh guru dan sebagainya. Selain itu, untuk memudahkan pengguna, dilampirkan juga beberapa jadual, hipotesis, rajah serta contoh yang diperoleh dari beberapa sekolah terpilih hasil responden guru yang mengajarkan Bahasa Melayu. Pada akhir bab buku ini merumuskan secara keseluruhan dapatan kajian dalam semua aspek pelaksanaan penerapan nilai dalam pengajaran Bahasa Melayu yang dikaji. Untuk mendapatkan maklumat hasil kajian tersebut, pembaca boleh mendapatkannya secara terperinci.
Buku Nilai Murni dalam Pengajaran Bahasa Melayu ini boleh dijadikan panduan kepada guru untuk menerapkan pendidikan nilai melalui mata pelajaran Bahasa Melayu. Keberkesanan amalan guru selepas kajian akan terus berkekalan andainya mendapat pencerapan dan penyeliaan yang mantap dan berterusan, sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Yang penting, penerapan nilai di sekolah mempunyai hubung kait yang rapat dengan kehidupan pelajar di rumah dan dalam masyarakat. Pihak ibu bapa, pihak berwajib dalam masyarakat dan pihak tertentu yang berkepentingan perlu diberi pendedahan yang sesuai, iaitu dalam bentuk forum, seminar, dan sebagainya.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.